Pelajar, pemandu lori maut motosikal bertembung
Nur Fazlizai Ali
Ogos 11, 2022 09:45 MYT
Ogos 11, 2022 09:45 MYT
DUNGUN: Seorang pelajar tingkatan empat dan pemandu lori maut selepas motosikal yang ditunggani mereka bertembung dalam kemalangan jalan raya.
Kejadian berlaku di Jalan Batu Putih, Dungun kira-kira jam 11.45 malam pada Rabu.
Insiden itu menyebabkan Muhammad Ruzie Rosemawi, 27, dan Muhammad Airie Mohd Gaazali, 16, meninggal dunia.
Muhammad Ruzie menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Manakala remaja terbabit yang turut mengalami kecederaan sama telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan di hospital.
Ketika kejadian Muhammad Ruzie yang menunggang motosikal jenis Modenas dikatakan dalam perjalanan dari arah bandar Dungun menuju ke kediamannya manakala remaja terbabit yang menunggang motosikal jenis yamaha Y15 datang dari arah bertentangan.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang Muhammad Ruzie dikatakan tidak sempat mengelak mlalu bertembung sesama mereka.
Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.
Katanya mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.