Pelajar Orang Asli rentas jalan balak berlumpur kembali ke sekolah
Bernama
Jun 24, 2020 17:17 MYT
Jun 24, 2020 17:17 MYT
Kira-kira 50 pelajar Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman di jajahan ini, terpaksa menempuh jalan balak yang berlumpur pada Selasa bagi memastikan dapat memulakan persekolahan pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof, berkata pelajar yang tinggal di Pos Bihi, Gob, Simpor dan Belatim itu, dibawa keluar menggunakan pacuan empat roda oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan untuk kembali ke lapan sekolah di bandar itu.
"Mereka (pelajat Tingkatan Lima dan Enam) bertolak pada 9 pagi dan tiba pada di sekolah masing-masing pada 4 petang semalam (Selasa) berikutan jalan balak yang rosak teruk akibat hujan.
"Mereka kemudiannya menginap di asrama dan memulakan sesi pembelajaran pada hari ini (Rabu) seperti pelajar-pelajar lain," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, pada Rabu.
Katanya beliau difahamkan masih ada sebilangan pelajar Orang Asli yang tidak dapat kembali ke sekolah namun akan berbuat demikian pada Ahad ini menggunakan kaedah sama.
Sementara itu, Ago Along, 53, dari Pos Simpor berkata anak perempuannya, Anis, 17, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra I di sini, teruja dapat kembali ke sekolah.
"Walaupun anak berdepan rintangan ketika mahu kembali ke sekolah, namun saya lihat dia tetap bersemangat untuk kembali belajar selepas lebih tiga bulan berada di kampung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Menghadapi kesukaran untuk kembali ke sekolah adalah perkara biasa bagi kami masyarakat Orang Asli kerana kurang kemudahan seperti masyarakat lain namun saya harap Anis belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran," katanya.
-- BERNAMA