Pelajar Orang Asli ke Busan kongsi kemahiran robotik
Muhafandi Muhamad
Januari 22, 2025 18:00 MYT
Januari 22, 2025 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan Sri Permai, Gua Musang di pedalaman Kelantan mencipta sejarah apabila tiga pelajarnya mewakili Malaysia untuk bertanding di International Robot Olympiad ke-26 di Busan, Korea Selatan, pada 18 dan 19 Januari 2025 lalu.
Pertandingan bertaraf antarabangsa itu memberi peluang kepada peserta-peserta untuk bekerjasama dan menyelesaikan masalah dunia sebenar melalui robotik, bagi membentuk generasi pemimpin masa depan yang peka akan perkembangan industri dan teknologi.
Pelajar berkenaan merupakan anak masyarakat Orang Asli iaitu Mekrenek a/p Rabu, Romzi bin Anjang dan Suzie a/p Kidiee.
Sebanyak tiga pasukan dari Kelantan, Pahang dan Johor bersaing dalam "Junior Creative Category", di mana peserta-peserta ditugaskan untuk mencipta dan mempersembahkan solusi robototik.
"International Robot Olympiad, yang diperkenalkan pada tahun 1999, berfungsi sebagai salah satu pertandingan robotik yang paling menonjol di dunia.
"Pertandingan ini menggalakkan para peserta untuk bertukar idea, mengasah kemahiran menyelesaikan masalah, dan berinovasi untuk masa depan," menurut satu kenyataan.
Suzie Kidiee, 11, berkongsi kisahnya di mana perjalanan robotiknya bermula dengan galakan guru untuk menyertai program Petrosains Tech4All.
"Pada mulanya, saya mendapati pengaturcaraan agak mencabar, tetapi selepas menyertai bengkel tersebut dan Petrosains RBTX Challenge 2024, saya mendapati konsep pengaturcaraan menjadi lebih mudah difahami," katanya.
Dia juga menekankan bagaimana program-program tersebut membantunya membuka potensi untuk berinovasi dan mencipta.
"Saya juga ingin menjadi seorang guru untuk memberi inspirasi kepada orang lain untuk berinovasi dan mencapai impian mereka," katanya.
Perjalanan peserta-peserta terlibat bermula dengan program Petrosains Tech4All, sebuah inisiatif yang direka khas untuk memperkenalkan pelajar-pelajar kaum Orang Asli ataupun Peribumi kepada pembelajaran robotik dan STEM melalui aktiviti pembangunan kemahiran secara praktikal.
Pelajar-pelajar tersebut seterusnya menyertai Petrosains RBTX Challenge 2024, di bawah sub-kategori yang baru diperkenalkan tahun lepas, iaitu Inovasi Budaya Orang Asli dan Teknologi.
Pertandingan tersebut mencabar pelajar-pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan STEM dalam mencipta penyelesaian lestari.
Berikutan kejayaan mereka dalam Petrosains RBTX Challenge 2024, pasukan tersebut telah menerima jemputan daripada International Robot Olympiad Committee untuk bertanding dalam International Robot Olympiad ke-26.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata sebagai badan impak sosial Petronas, Petrosains amat berbesar hati kerana diberi amanah untuk mendemokrasikan pendidikan STEM dalam kalangan komuniti.
"Melalui program-program seperti Petrosains RBTX Challenge dan Petrosains Tech4All, kami ingin memupuk minat yang lebih mendalam terhadap pendidikan STEM, menggalakkan komuniti kita untuk menerokai dan memanfaatkan peluang-peluang transformasi yang ditawarkan oleh STEM,” ujarnya.
Seramai 9 pelajar berlepas ke Busan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Januari lalu untuk bersaing di Busan Exhibition and Convention Center (BEXCO).