Pelajar OKU lemas ketika mandi

Astro Awani
April 22, 2018 09:35 MYT
Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. - Foto Astro AWANI
Seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) lemas di hanyutkan arus ketika mandi bersama enam rakannya di sebuah parit di Kampung Alur Mak Bah, Seberang Pintasan, dekat Dungun, Terengganu.
Mohammad Lokman Aziz, 17 tahun, yang mengalami masalah lembam pembelajaran dipercayai tergelincir dan dibawa arus ke dalam sebuah pembentung kira kira jam 5.20 petang Sabtu.
Pegawai Kanan Bomba Dua, Mohd Zaiharis sandar berkata sebuah jentera dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun bersama sepuluh anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 5.33 petang.
Menurut Mohd Zaiharis, rakan Mohammad Lokman cuba menyelamatkan mangsa yang hanyut namun gagal.
“Menurut saksi yang telah kita kenal pasti, mereka telah mandi di kawasan tersebut lebih kurang seramai tujuh orang dan mangsa dipercayai tergelincir di dalam parit tersebut.
“Setelah pihak perubatan sampai di tempat kejadian dan membuat pengesahan kematian, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Jelas beliau, mangsa dijumpai penduduk kampung di dasar parit sedalam tiga meter pada jam 5.40 petang.
Sementara itu , adik mangsa, Norhanis Aziz , 15 tahun berkata abangnya tidak memberitahu untuk pergi berkelah ketika keluar rumah pada sebelah pagi.
“Dia tidak beritahu pergi mana… selepas itu dalam pukul 6 baru tahu dia meninggal,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
#Dungun #hanyut #Kampung Alur Mak Bah #mati lemas #Mohammad Lokman Aziz #OKU #orang kelainan upaya #pelajar
;