Pelajar Nigeria mati lemas di Tasik Dayang Bunting
Bernama
Julai 22, 2015 08:02 MYT
Julai 22, 2015 08:02 MYT
Seorang pelajar universiti warga Nigeria berusia 27 tahun mati lemas semasa mandi di Tasik Dayang Bunting, di sini pada Selasa.
Mayat Daniel Tochukwu Odoemenam dijumpai oleh sepasukan penyelam dari Jabatan Bomba dan Penyelamat di dalam tasik legenda itu kira-kira pukul 6.40 petang.
Difahamkan Odoemenam, pelajar lelaki di sebuah universiti di Kuala Lumpur berada di sini untuk bercuti.
Pasukan mencari dan menyelamat, diketuai oleh Pegawai Bomba Tinggi, Mohamad Zabidi Che Teh kemudian membawa mayat mangsa ke Jeti Jabatan Perikanan di Bukit Malut di sini sebelum dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.
Ini adalah kejadian kedua di tasik air tawar itu, satu daripada tarikan pelancong di Langkawi, selepas seorang pemuda warga Taiwan berusia 20 tahun menerima nasib yang sama Februari tahun ini.