Pelajar MRSM lemas di Lata Kulim
Bernama
September 2, 2017 21:08 MYT
September 2, 2017 21:08 MYT
Seorang pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu lemas ketika berkelah bersama-sama keluarganya di Lata Kulim, Kampung Kenayat dekat sini, hari ini.
Mayat Muhammad Afiq Ishak, 14, yang berasal dari Felda Papulut, Lenggong, ditemui pada 2.15 tengah hari di dasar air terjun sedalam tiga meter oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata mangsa pergi ke kawasan air terjun berkenaan untuk memancing dan mandi manda bersama-sama 15 anggota keluarganya pada 11.30 pagi.
"Bagaimanapun, bapa mangsa memberitahu anaknya telah terjun di kawasan yang dalam.
"Bapa mangsa dan yang lain terjun untuk menyelamatkannya tetapi tekanan air menyebabkan mangsa hilang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan dua anggota polis, lima anggota bomba dan 30 penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Azizul Azwa Asaris berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1 tengah hari sebelum sebuah jentera dan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya anggota membuat selaman dan pencarian bersama-sama orang awam sebelum menemui mangsa di dasar air terjun.
"Mangsa dibawa ke daratan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya .
--BERNAMA
#Azizul Azwa Asaris
#Gerik
#Ismail Che Isa
#Lata Kulim
#lemas
#mayat
#meninggal dunia
#MRSM Kulim
#Muhammad Afiq Ishak
#pelajar