Pelajar mengadu pedih mata sebelum rasa pening dan mual, dipercayai hidu bau gas kuat
Bernama
Jun 23, 2019 18:09 MYT
Jun 23, 2019 18:09 MYT
Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai yang terlibat dalam insiden terbaharu sesak nafas, sebentar tadi, mendakwa mata mereka pedih sebelum tiba-tiba berasa pening dan mual akibat menghidu satu bau gas yang kuat dalam kejadian itu.
Kasih Sofea Mohd Zull Ihsan, 13, berkata dia baharu sahaja duduk berehat di hentian bas berhadapan dengan sekolahnya apabila kejadian berlaku.
"Masa itu rehat pukul 10 pagi dan saya biasanya akan berada di perhentian bas. Tetapi semasa baru sahaja duduk, saya terhidu bau gas... bau seperti gas toksik yang kuat. Selepas itu, saya terus jadi sesak nafas, pening kepala dan batuk.
"Apabila saya menoleh ke belakang, rakan-rakan lain sudah pun ada yang pengsan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang dijadikan sebagai Bilik Operasi Gerakan Pemantauan kes terbabit, hari ini.
Kasih Sofea berkata dia yang dalam kekalutan sempat masuk semula ke perkarangan sekolah untuk memaklumkan keadaannya kepada guru, dan seketika kemudian gurunya bergegas menelefon ambulans, yang tiba beberapa minit kemudian.
"Seingat saya, sewaktu menunggu ambulans, tangan saya juga menggigil kesejukan, tidak pasti kenapa," katanya.
Seorang lagi pelajar, Zareen Faridha Zulkfilee, 13, berkata dia turut mengidu bau gas kuat yang menyebabkan beliau merasa pedih mata serta pening.
"Disebabkan pedih, saya terus ke bilik kesihatan sekolah sebelum dirujuk ke sini (Stadium Tertutup MPPG)," katanya.
Sementara itu, bapa kepada seorang pelajar, Mohd Hairi Nick Sham, 40, berkata dia mendapat pemakluman kes itu dari guru sekolah anaknya melalui 'group Whatsapp'.
"Saya masa itu memang kebetulan hendak pulang ke rumah di Taman Scientex dari tempat kerja di Larkin tetapi guru tiba-tiba mesej suruh ambil anak saya (Nur Airisa Zafify, 13) di sekolah kerana ada simptom sesak nafas di sekolah.
"Saya pun bergegas pergi tetapi apabila sampai di sekolah, anak sudah dibawa ke sini (stadium)," katanya.
Mohd Hairi berkata selama beberapa hari yang lepas dia tidak menghidu apa-apa yang aneh di kawasan sekolah anaknya mahupun rumah mereka.
"Cuma hari ini sahaja lain," katanya.
Fendy Saharan, 38, pula berkata insiden tidak hanya berlaku di sekolah menengah itu sahaja sebaliknya turut dialami di Sekolah Kebangsaan Taman Nusa Damai.
"Isteri saya telah kejang kaki dan sesak nafas sebaik terhidu bau gas itu pagi tadi. Ketika itu, saya dan dia pergi ke sekolah untuk ambil 'report card' anak sempena hari terbuka bersama guru," katanya.
-- BERNAMA
#Ambulans
#bau gas yang kuat
#bilik operasi
#mata pedih
#mual
#Pasir Gudang
#pelajar
#pengsan
#pening
#sekolah
#sesak nafas
#SMK Taman Nusa Damai
#Stadium Tertutup