Pelajar maut, remaja parah motosikal bertembung
Sinar Harian
September 7, 2023 15:42 MYT
September 7, 2023 15:42 MYT
JASIN: Seorang pelajar tingkatan tiga maut, manakala seorang remaja lelaki cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Nyalas-Bukit Senggeh, di sini pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian pada jam 9.30 malam itu melibatkan motosikal DY 90 yang ditunggang S Shaarvin,15, dengan motosikal Yamaha Lagenda 110 yang ditunggang remaja berusia 16 tahun.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Shaarvin yang dalam perjalanan ke Bukit Senggeh dirempuh motosikal lain ketika membelok ke arah kanan menuju ke arah Taman Seri Nyalas.
"Dalam masa sama, sebuah motosikal ditunggang remaja lelaki itu dari arah bertentangan gagal mengelak lalu bertembung," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Tambahnya, rempuhan itu menyebabkan pelajar terbabit maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Manakala remaja berkenaan juga mengalami parah di kepala dan masih dirawat di Hospital Jasin.
"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987," ujar beliau. -Sinar Harian