Pelajar maut kemalangan selepas berbuka puasa bersama rakan

Nur Fazlizai Ali
April 23, 2021 07:51 MYT
Motosikal rakan Muhammad Amirul yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikalnya menyebabkan dia terjatuh ke laluan kanan lebuh raya. - Astro AWANI
KEMAMAN: Seorang pelajar maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam nahas jalan raya.
Kemalangan berlaku di Kilometer 330.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran bandar Kerteh, dekat sini, kira-kira jam 9.30 malam tadi.
Kejadian itu menyebabkan mangsa, Muhammad Amirul Aiman Ruzailan, 17 tahun, maut di lokasi kejadian.
Sebelum kejadian, pelajar Sekolah Menengah Seri Rasau, Dungun, itu berada di bandar Chukai untuk berbuka puasa bersama rakannya yang lain.
Ketika dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Felda Kerteh 2, motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggangnya dikatakan telah melanggar bahagian belakang sebuah lori tiga tan.
Pada masa yang sama, motosikal rakan mangsa yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikalnya menyebabkan mangsa terjatuh ke laluan kanan lebuh raya.
Ekoran kejadian itu, rakan mangsa yang turut mengalami kecederaan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
#maut #pelajar #kemalangan #motosikal #LPT2 #Kuala Terengganu #Kemaman #mangsa #Nahas #mayat
;