Pelajar maut dilanggar: 7 saksi sudah tampil beri keterangan - Polis

Sinar Harian
Disember 16, 2023 13:16 MYT
Poster memaparkan gambar mangsa dilihat ditampal di sekitar lokasi pembinaan Kompleks Mahkamah Ipoh dipercayai sebagai tanda solidariti terhadap kejadian itu. - Foto Sinar Harian
IPOH: Tujuh individu telah tampil memberi keterangan berhubung insiden kematian seorang pelajar lelaki akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua individu tersebut merupakan kalangan saksi di tempat kejadian.
"Setakat ini, sudah ada tujuh orang tampil membantu siasatan, kita tidak menolak kemungkinan akan ada lagi saksi-saksi lain dipanggil, bergantung kepada siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan lanjut kes membabitkan pegawai kanan polis berpangkat deputi superintenden itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA: Calon SPM maut langgar lari, pegawai kanan polis ditahan
Katanya, ini termasuklah dakwaan kejadian berlaku disebabkan rasa tidak puas hati antara pegawai berkenaan dengan mangsa yang membuat bising motosikal.
"Perkara ini masih dalam siasatan lagi," katanya.
Lelaki berusia 44 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu telah direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin depan.
Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya didakwa dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.
Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising motosikal.
Keadaan itu mengakibatkan, pemandu tersebut dipercayai mengejar mangsa sejauh hampir satu kilometer dan didakwa melanggarnya dari arah belakang mengakibatkan mangsa jatuh dan terseret hampir lima meter.
Sementara itu, beberapa poster memaparkan gambar mangsa dilihat ditampal di sekitar lokasi pembinaan Kompleks Mahkamah Ipoh dipercayai sebagai tanda solidariti terhadap kejadian itu.
Menerusi poster tersebut turut disertakan tulisan; 'Justice for Muhammad Zaharif Affendi'.
#pelajar maut dilanggar #polis perak #saksi kejadian #Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie #motosikal dilanggar
;