Pelajar maut digilis lori

Noraniza Kamsani
Januari 22, 2018 17:34 MYT
Motosikal dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah lori sebelum terjatuh dan digilis lori terbabit.
Seorang pelajar Kolej Vokasional Temerloh di sini maut dalam keadaan mengerikan apabila digilis sebuah lori di Kilometer 4 Jalan Temerloh-Jerantut, pagi tadi.
Kejadian jam 7.40 pagi itu berlaku ketika mangsa, Nurul Azira Khairul Nizam, 17 tahun, dalam perjalanan ke kolej itu dengan membonceng bersama rakannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zundin Mahmood, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika pemandu lori dan penunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Temerloh menuju ke Jerantut.
"Bagaimanapun, ketika sampai di tempat kejadian dipercayai penunggang motosikal dan lori bergesel.
"Akibat pergeseran ini, pembonceng motosikal terjatuh ke bawah lori dan digilis tayar belakang lori pada bahagian kepala," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, mangsa kemudian meninggal serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, mayat sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#cedera parah #Hospital Sultan Haji Ahmad Shah #Kolej Vokasional Temerloh #Kuantan #pelajar #temerloh #Zundin Mahmood
;