Pelajar maut dalam perjalanan ke sekolah

Muhafandi Muhamad
Januari 8, 2019 05:39 MYT
Keadaan motosikal yang ditunggang Farhan dan adik kembarnya. - Astro AWANI
Seorang pelajar lelaki sebuah Sekolah Menengah Agama maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Kubur Kamal, Jalan Beris Kubur Besar di sini, awal pagi tadi.
Insiden berlaku apabila mangsa, Farhan Na'af Faiz, seorang pelajar Sekolah menengah Agama Arab SMU (A) Muhammadiah Beris Panchor berusia 17 tahun, bersama adik kembarnya menunggang sebuah motosikal dalam perjalanan ke sekolah.
Dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, mangsa dikatakan terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang dipandu seorang wanita sebelum tercampak ke atas jalan, dan pada masa yang sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.
Farhan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala adiknya cedera dan dibawa ke klinik berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Kubang Kerian untuk tindakan lanjut.
#Bachok #kemalangan #pelajar #sekolah menengah agama