Pelajar Malaysia yang cedera dalam insiden rempuhan trak di Nice stabil

Astro Awani
Julai 17, 2016 10:53 MYT
Timbalan Menteri Luar merangkap Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) bersama bapa Esmond Chuah Hooi Ong, 22 yang terlibat dalam kemalangan di Francis baru-baru ini. - Foto Bernama
Pelajar Malaysia, Esmond Chuah Hooi Ong, yang cedera dalam insiden rempuhan trak di Nice, Perancis pada Khamis, kini berada dalam keadaan stabil.
Menurut bapa mangsa, Chuah Tze Leng, anaknya masih dirawat di hospital dan mengalami kecederaan di bahagian dada dan tulang belakang.
"Keadaannya semakin baik sekarang, hanya mengalami cedera akibat terjatuh dan doktor telah memaklumkan kepada kami dia tidak perlu menjalani pembedahan, namun dia hanya perlu rehat kerana ada tulangnya yang patah," katanya semasa ditemui di sini pada Sabtu.
Menurut Tze Leng, anaknya terlibat dengan program pertukaran pelajar selama tiga bulan di Perancis yang bakal tamat Ogos ini.
"Jadi ia memerlukan sedikit masa sebelum dia dibenarkan pulang. Namun sebelum dia ke program pertukaran pelajar itu, kami telah menyediakan pelan perubatan untuknya," tambahnya.
Namun dengan perkembangan semasa, program itu dijangka akan dijadualkan semula.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan kedutaan bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan kepada pelajar berkenan.
Chuah dari Jelutong merupakan pelajar tahun tiga Singapore University of Technology and Design (SUTD) yang menjadi antara mangsa rempuhan trak di Nice.
Pelajar lelaki tersebut merupakan antara 12 pelajar yang berada di Nice bagi mengikuti program pada musim panas.
Presiden Perancis, Francois Hollande mengumumkan pada Jumaat sekurang-kurangnya 84 orang termasuk beberapa orang kanak-kanak maut dalam kejadian itu yang berlaku sewaktu sambutan Hari Bastille.
#bunga api #Esmond Chuah #Francois Hollande #French Riviera #hari kebangsaan Perancis #Nice #serangan trak
;