Pelajar Malaysia sertai IS ketika cuti semester
Muhafandi Muhamad
Jun 16, 2015 21:11 MYT
Jun 16, 2015 21:11 MYT
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan pelajar Malaysia di Timur Tengah menggunakan kesempatan cuti semester untuk menyertai gerakan militan Islamic State (IS) di Syria.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, pihaknya mengalami kesukaran untuk memantau kegiatan pelajar-pelajar di luar negara yang tidak berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di negara tersebut.
“Hanya sesetengah pelajar kita di luar negara berdaftar dengan pihak kedutaan kita. Kumpulan ini mudah untuk kita pantau.
“Ada sebilangan lain yang tidak berdaftar, yang pergi persendirian. Kumpulan ini kita tak boleh kawal. Kita tidak ada kemampuan untuk mengawal mereka.
“Mungkin mereka mengambil kesempatan semasa cuti semester untuk menyertai kumpulan-kumpulan militant yang bergiat di Syria,” Ayub Khan berkata semasa ditemui selepas member taklimat keselamatan, ancaman kumpulan militan Islamic State di UiTM kampus Machang, hari ini.
Tambah beliau modus operandi yang sama turut digunakan oleh pelajar Malaysia di Pakistan yang mengambil kesempatan cuti semester universiti untuk menyertai kegiatan Al-Qqaeda di Afghanistan.
Mengenai ancaman militan IS dalam negara, Ayub Khan berkata buat masa ini, pihaknya giat memantau kumpulan tersebut, bagi memastikan ancaman itu dapat dikekang dan tidak menular di kalangan rakyat negara ini.
Walaubagaimanapun, beliau tidak menolak ancaman militan IS secara global adalah bertambah serius dan kawalan lebih ketat perlu dilakukan bagi mengelakkan rakyat negara ini terpengaruh dengan doktrin kumpulan ektrimis ini.
Buat masa ini, 11 warga Malaysia yang berjuang dengan kumpulan militan tersebut disahkan terkorban di Syria dan Iraq, dengan 5 terkorban dalam peperangan, manakala 6 lagi sebagai pengebom berani mati.