Pelajar Malaysia menang anugerah saintis muda
Bernama
Mac 3, 2018 08:55 MYT
Mac 3, 2018 08:55 MYT
Sekumpulan saintis muda tanah air berjaya mengharumkan nama negara apabila merangkul kemenangan dalam pertandingan Kongres Serantau Mencari Saintis Muda SEAMEO kali ke-11 (SSYS 2018).
Pertandingan anjuran Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara dan Pusat Serantau Pendidikan Sains dan Matematik (SEAMEO RECSAM ) itu menerima penyertaan daripada 12 negara dari Asia Tenggara.
Pertandingan yang disertai oleh pelajar berusia 14 hingga 18 tahun itu memperlihatkan pelajar terbabit berentap dalam kategori sains, matematik, dan pameran sains.
Wakil dari Malaysia Wong Kai Wern,17 tahun, dan Raymond Chow Yin Hong,17 tahun, berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori kongres matematik sekaligus diberikan anugerah 'Most Promising Young Scientists'.
"Kami mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan projek ini. Projek bermula setelah kami tamat peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sehingga sekarang. Masih ada penambahbaikan yang bakal dilakukan untuk menyempurnakan projek ini," kata Raymond ketika ditemui pemberita di sini.
Rakannya Wong berkata mereka bercadang untuk melakukan penambahbaikan dengan berusaha untuk menggantikan kamera web tersebut dengan telefon pintar.
"Kami bercadang untuk menukarkan penggunaan kamera web kepada penggunaan kamera telefon pintar kerana ianya lebih mudah diakses oleh komuniti. Ia mampu memberikan manfaat kepada masyarakat terutamanya sekiranya mereka mengalami masalah pernafasan atau penyakit seperti sesak nafas," katanya
Selain Wong dan Raymond, turut meraih kejayaan pada majlis itu adalah Syarifah Aqilah Salleh dan Muhammad Nur Aiman Azhari dari Maktab Rendah Sains Mara Pengkalan Hulu Perak yang memenangi Anugerah Khas Potensi Pembangunan Komersial Produk untuk Masyarakat dan Alam Sekitar.
Sementara itu, peserta dari Laos PDR Nattawut Tongudomsakoun, 17 dan Dedvalab Farman, 18 memenangi tempat pertama bagi kongres sains dengan ciptaan pengekstrakan kalsium dan ferum untuk penulenan air turut meluahkan kegembiraan.
Dedvalab berkata mereka mendapat ilham untuk menghasilkan projek sedemikian kerana penduduk di sesetengah daerah seperti di Xepon tidak mendapat akses kepada air yang bersih. Katanya sumber air semulajadi di sesetengah kawasan mengandungi kadar kalsium dan ferum ion yang tinggi.
"Fokus utama kami adalah untuk mengurangkan kandungan kalsium yang tinggi dalam air. Ia boleh menjejaskan sistem di pundi hempedu manusia. Menerusi kajian kami, projek ini juga mampu menyingkirkan bakteria E. Coli dalam kandungan air tersebut," katanya.
Sementara itu Lorenz Simoun, Marion Rodelle M Minano, Khristine B Bancod, dan Angela Mae Apolonio dari Filipina pula merangkul tempat pertama dalam kategori pameran sains.
Pelajar dari Filipina itu memfokuskan untuk meminimakan sisa buangan yang dilihat semakin kritikal ketika ini.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Pelajaran dan Kebudayaan Indonesia Profesor Dr Mihadjir Effendy yang juga Presiden SEAMEO ke-49 .
-- BERNAMA