Pelajar Malaysia maut kemalangan di Ponorogo Jawa Timur

Bernama
September 18, 2018 05:15 MYT
Pihak kedutaan sedang menguruskan urusan pengebumian jenazah pelajar yang berasal dari Pulau Pinang itu. - Gambar hiasan
Seorang pelajar Malaysia di Ponorogo, Jawa Timur, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori, menurut jurucakap Kedutaan Malaysia di Jakarta.
Katanya Muhammad Nuqman Zamri, 20, pelajar Pondok Darussalam Gontor dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut jurucakap itu, ketika kejadian itu pada Isnin, mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.
"Menurut pihak polis Ponorogo, kemalangan berlaku 4.30 petang semalam (Isnin) di Jalan Raya Dusun, Bendorangkang, Kabupaten Jombang.
"Disebabkan tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa, pihak pengurusan pondok pengajiannya itu hanya mendapat maklumat kejadian sekitar jam 9 malam sebelum memaklumkan kejadian itu pada pihak kedutaan 7 pagi tadi (Selasa)," katanya.
Pihak kedutaan sedang menguruskan urusan pengebumian jenazah pelajar berasal dari Pulau Pinang itu, katanya.
"Pengebumian dijangkakan pada Rabu. Waris mangsa telah memutuskan untuk mengebumikan anak mereka di Ponorogo. Ketika ini pihak kedutaan sedang menguruskan surat konsular bagi urusan pengeluaran sijil kematian oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.
Pihak pengurusan pondok itu masih menunggu ketibaan ibu bapa pelajar berkenaan iaitu Zamri Yunus dan Azirah Taib dari Kuala Lumpur sebelum jenazah dikebumikan, kata jurucakap itu.
-- BERNAMA
#cedera parah #dokumen #ibu bapa #Jakarta #Jawa Timur #kebumi #Kedutaan Malaysia #kemalangan #Lori #meninggal dunia #motosikal #Muhammad Nuqman Zamri #pelajar malaysia #pengenalan diri #Ponorogo #pulau pinang #Zamri Yunus
;