Pelajar Malaysia ditahan di Mesir dibebaskan - Saifuddin
Irwan Muhammad Zain
September 25, 2022 22:46 MYT
September 25, 2022 22:46 MYT
PUTRAJAYA: Seorang mahasiswa rakyat Malaysia di Universiti Al-Azhar yang sebelum ini ditahan pihak berkuasa Mesir sudah dibebaskan pada Sabtu.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan malam ini berkata, mahasiswa itu berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan pengajian di universiti tersebut.
Katanya, Kementerian Luar bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Republik Arab Mesir melalui Kedutaan Malaysia di Kaherah serta Kedutaan Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur bagi memastikan kebajikan mahasiswa itu terpelihara.
"Kerajaan Malaysia juga merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada Kerajaan Republik Arab Mesir atas kerjasama erat dalam perkara ini," katanya.
Saifuddin berkata kementerian sentiasa prihatin akan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.
Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia sentiasa peka dan mematuhi undang-undang negara tuan rumah di mana mereka berada.