Pelajar Malaysia didakwa bunuh bayi baru lahir di UK

Astro Awani
Oktober 25, 2024 12:32 MYT
Jia tiba dari Malaysia awal tahun ini untuk menyambung pelajaran di Universiti Coventry dan dia telah menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenalinya. - Foto West Midlands Police
SEORANG pelajar Malaysia disabitkan di mahkamah jenayah di Warwick, West Midlands, England atas kesalahan membunuh bayinya yang baru lahir pada Mac lalu.
Memetik laporan BBC, wanita itu telah memasukkan bayinya ke dalam kotak makanan bijirin dan menyembunyikannya di dalam beg pakaian.
Menurut pejabat pendakwaan Crown Prosecution Service (CPS), Jia Xin Teo, 22 tahun, mendakwa dia mendengar suara yang menyuruhnya membunuh atau mencederakan bayi itu.
Bagaimanapun, juri di mahkamah tersebut menolak hujah pembelaannya itu.
Jia tidak memberitahu polis di mana dia menyembunyikan bayinya sehingga dua hari berlalu.
CPS berkata, bayi itu "hidup selepas dilahirkan dan boleh bertahan tetapi Jia membuat keputusan meletakkannya di dalam kotak bijirin dalam keadaan sedar bahawa tindakan itu boleh membunuhnya."
Jia tiba dari Malaysia awal tahun ini untuk menyambung pelajaran di Universiti Coventry dan dia telah menyembunyikan kehamilannya daripada semua orang yang dikenalinya, tambah CPS.
Pelajar yang tinggal di Raglan Street di bandar itu, melahirkan bayinya pada 4 Mac dan meletakkannya di dalam kotak bijirin sebelum memindahkannya ke dalam beg plastik dan ditempatkan di dalam beg pakaian.
Polis West Midlands berkata, pihaknya dipanggil ke alamat rumahnya dua hari kemudian, selepas Jia tiba di sebuah hospital dan menunjukkan tanda-tanda telah melahirkan anak.
Kakitangan di hospital itu bertanya sama ada dia telah melahirkan, tetapi dia menafikannya.
Jia kemudiannya mengaku bersalin dan takut sekiranya keluarga dan rakan-rakannya di Malaysia mengetahui perkara itu dan ia menjejaskan pelajarannya.
Polis berkata, demikian alasan yang diberikannya kerana menolak bantuan perubatan, bertindak melahirkan di rumah dan menyembunyikannya daripada rakan serumah.
Selepas sabitan pada Khamis, pendakwa raya CPS, James Leslie Francis berkata, ketika tiba di United Kingom, Jia sedar dia bakal melahirkan anak di negara itu dan dia berpeluang untuk mendapatkan bantuan.
Tetapi, katanya, Jia "memilih untuk menyembunyikan kehamilannya dan melahirkan bayinya seorang diri".
Tambahnya, Jia juga enggan pergi ke hospital untuk diperiksa selepas bersalin dan berbohong kepada rakan-rakan yang mengambil berat tentang dirinya.
Dia turut berbohong kepada doktor di hospital dan kepada polis supaya tiada sesiapa menemui bayinya.
Teo akan dijatuhkan hukuman pada tarikh yang akan ditetapkan.
#bunuh bayi #pelajar malaysia #Britain #simpan bayi dalam kotak bijirin
;