Pelajar Malaysia di Syria selamat - Mohamad Hasan

Astro Awani
Disember 10, 2024 23:33 MYT
Semua pelajar berada di kampus universiti dan situasi mereka sentiasa dipantau Konsulat Malaysia di Syria. - REUTERS/Rebecca Cook
KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan semua pelajar Malaysia di Syria berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, semua pelajar berada di kampus universiti dan situasi mereka sentiasa dipantau Konsul Kehormat Malaysia di Syria.
"Mereka dalam keadaan selamat dan berada di kampus masing-masing.
"Konsul Kehormat Malaysia di Syria sentiasa memantau keadaan semasa dan melaporkan terus kepada saya," katanya dalam mesej ringkas di WhatsApp.
Seramai 42 rakyat Malaysia berada di Syria, dengan 37 daripadanya adalah pelajar.
Terdahulu, kumpulan pemberontak Syria telah berjaya menawan ibu kota, Damsyik, sekali gus mengumumkan kejatuhan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.
Sementara itu, Bashar bersama keluarganya kini berlindung di Moscow selepas diberikan suaka atas dasar kemanusiaan oleh Russia.
#Syria #pelajar malaysia #Mohamad Hasan #universiti #konsulat Malaysia
;