Pelajar Malaysia di Mansour, Mesir selamat - Wisma Putra
Astro Awani
Disember 25, 2013 12:34 MYT
Disember 25, 2013 12:34 MYT
Kira-kira 1000 pelajar Malaysia di Mesir dilaporkan selamat susulan kejadian letupan bom yang dilapor menggegar bandar raya Mansoura pada pagi Selasa.
“Mereka sudah dinasihatkan agar mengikuti langkah-langkah keselamatan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di Kaherah dan pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra.
Sementara itu, Wisma Putra sedang memantau perkembangan situasi berkenaan dengan bantuan kedutaan Malaysia di Kaherah.
"Malaysia begitu bimbang dengan kejadian letupan bom yang berlaku dan menggesa semua pihak terlibat agar tidak meneruskan keganasan," kata kenyataan itu.
Menurut laporan awal, kejadian letupan bom berlaku berhampiran bangunan polis yang meragut 15 nyawa.
Pihak berkuasa berkata ia sebahagian usaha untuk mensabotaj peralihan negara itu kepada demokrasi.