Pelajar Malaysia di Jepun sambut Aidilfitri secara sederhana
Bernama
Mei 2, 2022 03:58 MYT
Mei 2, 2022 03:58 MYT
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Jepun pada Isnin menyambut satu Syawal di perantauan secara sederhana, berikutan sibuk dengan urusan kuliah masing-masing.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Nagaoka University Of Technology, Muhammad Khair Nadil Khairudin, 23, berkata mereka sempat menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau universiti itu, yang turut disertai kira-kira 40 orang komuniti Muslim lain.
"Selepas solat sunat hari raya bersama komuniti Islam di sini, saya dan rakan-rakan bergegas ke kelas kerana kami ada kuliah pagi.
"Surau universiti ini bukan sahaja digunakan pelajar Muslim di sini, tetapi juga komuniti Islam berdekatan," katanya kepada Bernama.
Menurutnya komuniti Muslim tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang, dan berasal dari pelbagai negara seperti Malaysia, Indonesia, Senegal, Bangladesh dan Pakistan, selain dari Jepun sendiri.
Mengenai sambutan Aidilfitri, Muhammad Khair Nadil berkata beliau dan rakan-rakan Muslim yang lain tidak sempat melakukan sebarang persediaan seperti memasak juadah hari raya, kerana tidak menyangka Syawal di sambut hari ini, ditambah pula dengan komitmen lain sebagai pelajar.
Katanya Jepun juga sepatutnya menyambut hari raya pada Selasa, tetapi disebabkan negara Islam terdekat iaitu Malaysia menyambutnya pada Isnin, maka masyarakat Islam Jepun turut meraikannya pada Isnin.
"Kami sebenarnya sudah merancang untuk mengadakan jamuan pada hari raya pertama yang disangka Selasa, tetapi disebabkan satu Syawal jatuh pada hari Isnin, tidak sempat membuat apa-apa persediaan seperti memasak jamuan hari raya," katanya.
Muhammad Khair Nadil, yang sudah dua tahun menyambut Aidilfitri di bumi matahari terbit itu berkata dia sangat merindui suasana hari raya di Malaysia. kerana sambutannya lebih meriah.
"Suasana hari raya di Jepun dan Malaysia sangat berbeza. Saya rindu suasana hari raya di Malaysia, terutamanya pada makanan seperti rendang, ketupat dan lemang. Saya juga rindu untuk beraya bersama keluarga," katanya dengan suara sayu.
Seorang lagi pelajar Malaysia di Jepun Nuraiman Mustaqim Nurnasran, 22, berkata beraya di perantauan agak membosankan dan tidak semeriah di Malaysia selain terpaksa berjauhan daripada keluarga.
"Kalau di Malaysia ada rendang, ketupat, lemang dan kuih-muih. Juadah hari raya inilah yang paling saya rindu selain untuk bersama keluarga," katanya yang baru pertama kali beraya di Jepun.
Bagaimanapun, Nuraiman Mustaqim mengakui beraya di perantauan dan berjauhan daripada keluarga. mengajarnya untuk lebih tabah menghadapi cabaran serta hidup berdikari.
-- BERNAMA