Pelajar Malaysia boleh keluar negara tanpa mohon kebenaran awal - Jabatan Imigresen

Bernama
Jun 26, 2020 17:13 MYT
Golongan yang diberi kebenaran keluar negara tanpa kebenaran awal boleh berbuat demikian bermula 24 Jun. Gambar fail/ Bernama
Pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pengajian di luar negara termasuk yang baru menerima tawaran atau ingin mengambil peperiksaan, dibenarkan keluar negara tanpa perlu memohon kebenaran awal Jabatan Imigresen (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, mereka adalah antara kategori rakyat Malaysia dibenarkan ke luar negara, tanpa kebenaran awal daripada JIM mulai 24 Jun.
"Mereka perlu menunjukkan pas pelajar atau visa atau pas jangka panjang atau surat tawaran atau surat arahan mengambil peperiksaan, serta dokumen-dokumen sokongan yang berkaitan kepada pegawai Imigresen di pintu masuk," katanya.
Kebenaran sama turut diberikan kepada warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ingin keluar negara bagi yang bermastautin dengan taraf Penduduk Tetap atau memiliki Pas Jangka Panjang atau bekerja di luar negara, katanya.
"Dokumen pembuktian seperti permit kerja atau dokumen sokongan yang berkaitan hendaklah dikemukakan semasa berurusan di kaunter Imigresen, di pintu keluar negara.
"Bagi warganegara Malaysia yang mempunyai keperluan ke luar negara bagi tujuan seperti menghadiri mesyuarat, seminar, pameran, serta urusan kecemasan dan perniagaan, mereka masih perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk kelulusan," katanya.
Khairul Dzaimee berkata, pemohon perlu menghantar surat permohonan berserta salinan pasport dan lain-lain dokumen sokongan melalui e-mel ke kpi@imi.gov.my.
Dalam pada itu, kategori warga asing yang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran daripada JIM adalah:
i) Pemastautin Tetap (PR) Malaysia
ii) Diplomat
iii) Suami / Isteri / Anak kepada warganegara Malaysia yang mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang (Suami/Isteri/Anak)
iv) Pas Penggajian (Kategori I)
v) Pas Residen - Talent (RPT)
vi) Pas Tanggungan kepada Pas Penggajian (Kategori I) dan Pas Residen - Talent
vii) Pembantu Rumah Asing kepada Pas Penggajian (Kategori I) dan Pas Residen - Talent
Khairul Dzaimee berkata, kebenaran itu diberikan tertakluk kepada status pas yang masih sah tempoh.
Warga asing selain daripada kategori yang dinyatakan perlu menghantar surat permohonan berserta salinan pasport dan lain-lain dokumen sokongan melalui emel ke kpi@imi.gov.my, katanya.
-- BERNAMA
#Imigresen #institut pengajian tinggi #kebenaran imigresen #luar negara #pelajar #perintah kawalan pergerakan #PKP #rakyat Malaysia #warga asing
;