Pelajar madrasah ditemukan lemas di Langkawi

Bernama
Oktober 3, 2022 13:02 MYT
Anggota bomba melakukan pencarian susulan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas di Lubuk Semilang, Langkawi, hari ini. - Foto ihsan JBPM Kedah/Sinar Harian
ALOR SETAR: Seorang pelajar madrasah dari Banting, Selangor ditemukan lemas di Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi hari ini.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata mayat pelajar lelaki berusia 15 tahun itu ditemukan pada 11.40 pagi.
Beliau berkata menurut saksi, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bermain air bersama tujuh rakan lelakinya berusia antara 15 dan 16 tahun sebelum dia dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai di kawasan berkenaan.
"Beberapa rakan cuba menyelamatkan mangsa tetapi usaha mereka tidak berjaya sebelum seorang daripada saksi di situ menghubungi pihak bomba.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.55 pagi dan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi telah dikerahkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zamani berkata mayat pelajar itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#lemas #Langkawi #pelajar madrasah #Hutan Lipur Lubuk Semilang
;