Pelajar lemas ketika kutip kerang di Dungun

Sharom Abu Bakar
Februari 11, 2016 22:16 MYT
Mohd Firdaus Sulong, 17, dilaporkan hilang sebelum ditemui lemas selepas dibawa ombak ke tengah laut. - Astro AWANI
Pesta mengutip kerang yang sepatutnya berlangsung meriah bertukar tragedi apabila seorang remaja ditemui mati lemas.
Insiden berlaku di Pantai Sura, Dungun, Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah hari Khamis ketika mangsa bersama rakan-rakan ke pantai tersebut untuk mencari kerang dan mandi.
Mohd Firdaus Sulong, 17, dilaporkan hilang sebelum ditemui lemas selepas dibawa ombak ke tengah laut.
"Kami mandi bersamanya dan kemudian kami lihat Mohd Firdaus ditolak arus sampai ke tengah laut. Kami cuba mengambil kayu untuk menyelamatkannya tetapi tidak sempat," kata rakan mangsa, Mohd Zulkhairi Mohd Yusof ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, ibu Mohd Firdaus, Latipah Mohd Nor berkata, beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan anak rakannya.
"Saya tidak mengetahui anak pergi ke pantai. Sedar-sedar kawannya datang beritahu mak cik anak saya lemas," katanya di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.13 petang dan bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan pada jam 1.30 petang dan mayat mangsa ditemui terdampar 20 meter dari tempat beliau dilaporkan hilang pada jam 3 petang.
Jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Susulan kejadian itu Ahmad Zailani menasihati orang ramai supaya tidak turun ke pantai buat masa terdekat ini.
#lemas di Pantai Dungun #Mohd Firdaus Sulong #pesta kutip kerang Pantai Sura
;