Pelajar lemas di Air Terjun Sungai Chiling
Afiezy Azaman
Mac 17, 2020 18:59 MYT
Mac 17, 2020 18:59 MYT
Keriangan empat sekawan bermandi-manda semasa musim cuti persekolahan bertukar menjadi tragedi apabila seorang daripada mereka maut akibat lemas di Air Terjun Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor, pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arshad Kamaruddin, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari apabila mangsa berusia 17 tahun dan tiga rakannya pergi ke kawasan rekreasi tersebut.
"Mangsa dikatakan telah terjun dari tebing sungai tersebut namun tidak menimbulkan diri sejurus selepas itu.
"Rakan-rakannya cuba mencari dan mendapati mangsa terkapai-kapai namun tidak berjaya di bawa keluar sekali gus menelefon bomba untuk melakukan pencarian," katanya dalam satu kenyataan.
Arshad berkata, pihak bomba berjaya menemui mayat berhampiran tebing tempat yang dikatakan mangsa terjun, namun disahkan telah meninggal dunia.
"Bedah siasat telah dilakukan dan punca kematian adalah mati lemas.
"Pihak polis menasihatkan supaya ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak terutama musim cuti sekolah supaya kejadian yang tidak diingini tidak berlaku," ujarnya.