Pelajar lelaki warga China ditemui lemas dalam kolam
Aida Aziz
Mac 15, 2025 07:35 MYT
Mac 15, 2025 07:35 MYT
Anggota bomba mengambil mangsa dari dalam kolam dan membuat rawatan awal CPR ke atasnya sehingga petugas KKM sampai di lokasi. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang remaja lelaki warga China berusia 17 tahun ditemui lemas dalam kolam sedalam 1.2 meter di Kondominium Meru Idaman, Meru Raya, di sini, malam tadi.
Mangsa yang difahamkan merupakan pelajar di sebuah sekolah antarabangsa itu disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.22 malam.
"Seramai lapan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya bergegas ke lokasi.
"Didapati, mangsa lemas di dalam kolam dalam keadaan melintang.
"Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, bomba mengambil mangsa dari dalam kolam dan membuat rawatan awal Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) ke atasnya sehingga petugas KKM sampai di lokasi.
Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#lemas
#pelajar sekolah antarabangsa
#Ipoh
#lemas dalam kolam
#Kondominium Meru Idaman
#remaja warga China