Pelajar lelaki duduki SPM lemas

Bernama
November 26, 2017 22:27 MYT
Pelajar tingkatan lima itu ditemui lemas di kolam renang sebuah pusat pelancongan di Jalan Bukit Quoin di sini, hari ini.
Seorang pelajar lelaki yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ditemui lemas di kolam renang sebuah pusat pelancongan di Jalan Bukit Quoin di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata Ashiraf Ayub, 17, ditemui tidak sedarkan diri di dasar kolam oleh petugas yang ketika itu turut mencari mangsa selepas dimaklumkan mangsa terjun ke dalam kolam dan tidak timbul.
"Selepas kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, ibu mangsa membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Balung untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas lemas sewaktu aktiviti riadah bersama keluarga.
"Di bahagian kecemasan Klinik Balung, pembantu pegawai perubatan bertugas telah mengesahkan mangsa meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini.
Fadil berkata keluarga Ashiraf turut mengesahkan pelajar itu tidak pandai berenang.
Kolam renang itu terdiri daripada kolam kanak-kanak dengan kedalaman kira-kira 2 kaki (0.6 meter) dan kolam dewasa dengan kedalaman 7 kaki (2.1 meter).
-- BERNAMA
#Fadil Marsus #Jalan Bukit Quoin #Kanak-kanak #kesihatan #Klinik Balung #lemas #mangsa #maut #meninggal dunia #pelajar #peperiksaan #perubatan #polis #SPM #Tawau
;