Pelajar kritikal terkena jangkitan kencing tikus
Bernama
Disember 24, 2014 17:05 MYT
Disember 24, 2014 17:05 MYT
Satu lagi kes jangkitan kencing tikus dilapor di Kuala Nerang.
Ia melibatkan pelajar yang baru mengambil keputusan Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Fahmi Abd Razak, 15, dari Kampung Kubu, Kuala Nerang yang dilapor berada dalam keadaan kritikal yang dimasukkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pagi semalam akibat demam sejak seminggu lepas.
Difahamkan sebelum itu Fahmi dan beberapa rakannya telah pergi untuk mandi dan membasuh motosikal mereka di Sungai Perik, Kampung Perik.
Kakaknya Rahimah Abd Razak, 25, berkata sebelum dibawa ke hospital, adiknya sempat mengambil keputusan PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang pada pagi Isnin walaupun dia dalam keadaan tidak sihat.
"Pagi Isnin dia pergi ambik keputusan PT3 sebelum dia balik ke rumah dan minta ubat dan masuk ke dalam bilik untuk tidur. Kami sekeluarga tak sempat pun nak tengok keputusan peperiksaannya.
"Pada pukul 10 malam, ayah bawa dia ke Hospital Kuala Nerang kerana mata dia menjadi kuning dan kemudian dia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah pada pukul 2.30 pagi semalam," katanya kepada pemberita hari ini.
Rahimah berkata di HSB adiknya disahkan mengalami jangkitan kencing tikus.
Beliau berkata doktor memberitahu berlaku pendarahan pada paru-paru adiknya.
Bapa mangsa Abd Razak Man, 49, berkata beliau sebelum ini melarang anaknya mandi sungai.
Namun beliau berkata sungai tersebut yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya kelihatan bersih.
Awal bulan ini, seorang kanak-kanak dari Bukit Pinang dekat sini meninggal dunia disyaki akibat dijangkiti kencing tikus setelah mandi di sebuah pusat rekreasi di Yan.
Ibu dan dua adiknya turut dijangkiti kencing tikus.