Pelajar koma jatuh dari siling sekolah

Hakim Rahman
Oktober 2, 2014 22:33 MYT
Mangsa kini dirawat di wad kecemasan Hospital Keningau dan berada dalam keadaan kritikal.
Seorang murid lelaki tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Ansip, di sini, koma selepas terjatuh dari siling tingkat tiga bangunan kelasnya, pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 9.55 pagi itu, mangsa, Dylause Dionel, dikatakan terjatuh ke lantai di koridor bangunan terbabit menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala.
Mangsa kini dirawat di wad kecemasan Hospital Keningau dan berada dalam keadaan kritikal.
Sebelum kejadian, mangsa difahamkan meminta kebenaran guru untuk keluar ke tandas.
Guru berkenaan kemudiannya keluar mencari pelajar terbabit setelah dia lambat masuk semula ke kelas dan mendapati pelajar berkenaan telah terjatuh dan cedera.
Bapa mangsa yang mengetahui kejadian itu kemudian membuat laporan polis kerana tidak puas hati selepas tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah berhubung perkara itu.
Astro AWANI difahamkan pelajar berkenaan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Asisten Superintendan Merbin Ak Lisa ketika mengesahkannya berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.04 tengah hari.
Bagaimanapun setakat ini masih tidak dapat dipastikan bagaimana pelajar tersebut terjatuh.
#Dylause Dionel #jatuh #pelajar #Sekolah Kebangsaan (SK) Ansip
;