Pelajar kolej vokasional tidak sempat beraya maut kemalangan
Adie Sufian Zulkefli
April 22, 2023 08:40 MYT
April 22, 2023 08:40 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang pelajar Kolej Vokasional tidak sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah maut dalam kemalangan di Jalan Lencong Timur di sini pada Sabtu.
Mangsa, berusia 17 tahun maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata dalam kejadian pada jam 12.45 tengah malam itu, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Anggerik, Amanjaya.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah lori dipercayai keluar dari lorong sebelah kiri dari Taman Batik menghala ke Bukit Banyan.
“Mangsa yang menunggang bersendirian dari arah sama tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang lori sehingga mengakibat mangsa terjatuh ke atas jalan.
“Kebetulan ketika itu sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki yang sedang bergerak di belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa bersama motosikalnya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Zaidy berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.