Pelajar kolej vokasional maut kemalangan
Sinar Harian
Mei 1, 2018 11:08 MYT
Mei 1, 2018 11:08 MYT
Seorang pelajar Kolej Vokasional Datuk Lela Maharaja (KVDLM) maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 24, Jalan Seremban-Tampin, dekat persimpangan tiga berhampiran Fresco, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, Muhammad Mohd Jalani, 19, dari Permatang Pasir, Linggi disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR datang dari arah Rembau ke Seremban, manakala, sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda (4x4) jenis Mitsubishi Pajero dari arah Seremban menghala ke Rembau.
“Sebaik sampai di tempat kejadian iaitu di persimpangan, didapati pemandu kenderaan 4x4 iaitu seorang lelaki gagal berhenti untuk masuk ke persimpangan kanan jalan dan dalam masa yang sama penunggang motosikal dari arah Rembau tidak sempat mengelak lalu berlaku pertembungan.
“Susulan pertembungan ini, penunggang motosikal telah meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.