Pelajar kolej swasta antara ditahan jual 'brownies ganja'

Afiezy Azaman
Mac 31, 2023 11:40 MYT
Dalam serbuan pertama di Kuala Lumpur 25 Mac lalu, sejumlah 6kg kek mengandungi dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM21,000 berjaya dirampas. - Foto ihsan PDRM
KUALA LUMPUR: Dua individu ditahan termasuk seorang pelajar kolej swasta kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah pada 25 dan 27 Mac lalu.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman, tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik lbu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (JSJN IPK KL) dalam dua operasi berasingan di sekitar Lembah Klang.
Katanya, pada 25 Mac lepas, polis melakukan serbuan di Jalan 9, Kampung Cheras Baru, di sini, yang membawa kepada penahanan seorang pelajar kolej swasta berusia 19 tahun.
"Sejumlah 6 kilogram (kg) kek mengandungi dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM21,000 berjaya dirampas.
"Suspek tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan aktif menjalankan pengedaran kek brownies ganja sejak tiga bulan lepas.
"Punca bekalan masih dalam siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang jenis dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, kes kedua melibatkan seorang lelaki warga Indonesia yang ditahan dalam serbuan di Subang Jaya, Selangor.
"Suspek merupakan buruh kebun dan berusia 31 tahun serta rampasan melibatkan 56kg dadah jenis ganja bernilai RM166,000 dan syabu (1kg) bernilai RM26,000.
"Dadah jenis ganja itu dijumpai di dalam bekas yang ditanam pada kedalaman 1 meter (m) di kawasan tanah terbiar dan dia berperanan untuk menjaga bekalan dadah yang ditanam itu.
"Suspek tidak memiliki rekod lampau namun didapati positif dadah jenis methamphetamine," ujarnya.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut
Jelasnya lagi, sindiket-sindiket ini mula dikesan beroperasi sejak tiga bulan yang lepas.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan ahli-ahli sindiket yang terlibat.
"Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 126,000 orang pengguna dadah," katanya.
#pelajar kolej swasta #sindiket pengedaran dadah #kek ganja #Polis Kuala Lumpur
;