Pelajar kolej maut, dua anggota polis parah ketika bantu tukar tayar pancit

Nazialita Geynna Maharan
April 26, 2018 14:19 MYT
Terdapat dua anggota polis cedera dalam kejadian kemalangan itu.
Seorang pelajar kolej swasta maut manakala dua lagi anggota polis cedera parah dalam kemalangan tragis di Kilometer 223.1, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berdekatan susur keluar Taiping pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Muhd Hakeem Badrol Hisham, 21, dipercayai telah meletakkan kenderaan di bahu jalan berikutan tayar pancit sebelum dirempuh sebuah lori dan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata kejadian tersebut turut menyebabkan dua anggota polis peronda yang berhenti di bahu jalan untuk membantu mangsa menukar tayar, mengalami kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati insiden sekitar 8.30 pagi itu berlaku apabila sebuah kenderaan peronda polis yang dinaiki tiga orang anggota telah berhenti di bahu jalan bagi memberi bantuan kepada kereta mangsa jenis Honda Civic yang mengalami tayar pancit.
“Semasa memberi bantuan, sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah Kuala Kangsar telah hilang kawalan lalu melanggar belakang kereta mangsa, dan juga melanggar belakang kereta peronda.
“Kenderaan mangsa, diseret sejauh 70 meter di bahu kiri jalan manakala lori tersebut terbabas ke bahagian tengah jalan.
"Ekoran rempuhan itu, mangsa telah terperosok ke bawah kereta peronda polis dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan," katanya.
Menurut Mohamad Taib, kedua-dua anggota polis, Khairul Zulhamie Mat Deris dan Mohd Zamri Zainal masing-masing mengalami patah kaki kiri dan kanan manakala seorang lagi anggota mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mereka katanya, dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
Jelas beliau, siasatan juga mendapati jalan di lokasi kejadian adalah selekoh sistem sehala manakala insiden itu turut menghalang lalu lintas.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Pegawai Bomba Kanan II Mustapa Kamal Ismail melaporkan operasi mengeluarkan Muhd Hakeem yang terperosok di bawah kenderaan peronda polis, disebabkan perlanggaran dari arah belakang kereta menggunakan kaedah 'air bag'.
#kemalangan #maut #peronda polis #polis cedera #Taiping
;