Pelajar kolej kena cabul atas motosikal

Sinar Harian
Ogos 21, 2018 11:10 MYT
Motosikal suspek yang dirampas polis. - Foto Sinar Harian
Seorang pelajar kolej dicabul ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Felcra Changkat Lada - Ulu Dedap, kira-kira jam 2.30 petang, 6 Ogos lalu.
Mangsa remaja wanita berusia 18 tahun ketika kejadian menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kampung Sungai Timah, Kampung Gajah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, berdasarkan laporan polis mangsa mendakwa dia dicabul dibahagian dadanya semasa menunggang motosikal berhampiran Jalan Kelisa 1, Seberang Perak.
"Tiba-tiba sebuah motosikal Lagenda berwarna merah hitam ditunggang seorang lelaki yang datang dari arah belakang terus meraba payudara mangsa sebelum memecut laju melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Zainal berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati beberapa kejadian seumpama itu berlaku di Jalan Felcra Changkat Lada - Ulu Dedap sebelum ini.
"Risikan dan temubual polis mendapati enam saksi urut mengalami nasib sama, namun tiga daripada mereka tidak membuat laporan polis kerana malu dan trauma," katanya.
Menurut Mohamad Zainal bertindak berdasarkan maklumat diperoleh, seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan di kediamannya di Bandar Seberang Perak, Kampung Gajah kira-kira jam 8.30 malam 12 Ogos lalu.
"Suspek seorang penganggur akan didakwa di Mahkamah Seksyen Ipoh terlebih dahulu sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Parit," katanya.
#cabul #Jalan Felcra Changkat Lada #Jalan Kelisa 1 #Kampung Gajah #Kampung Sungai Timah #pelajar kolej #Ulu Dedap
;