Pelajar Jepun ambil iktibar kisah Pertempuran Kampar, lihat tinggalan perang

Aida Aziz
November 25, 2023 09:00 MYT
Lebih 30 orang pelajar Jepun termasuk guru pengiring dan keluarga berkunjung ke lokasi bersejarah baru-baru ini. - Astro AWANI
KAMPAR: Banyak kisah yang kita boleh pelajari daripada peperangan, walaupun ia sudah berpuluh tahun berlaku namun jejaknya masih boleh dilihat sehingga kini.
Kunjungan lebih 30 orang pelajar Jepun termasuk guru pengiring dan keluarga ke lokasi bersejarah baru-baru ini, memberi ruang bagi orang tempatan menjelaskan situasi sebenar yang dilalui masyarakat di sini suatu ketika dahulu.
Lokasi utama di Memorial Pertempuran Kampar dekat SMK Kampar dan Jambatan Kuala Dipang, menjadi saksi kemaraan tentera Jepun ke Tanah Melayu.
Sudah tentu, pelancongan berasaskan sejarah ini dapat mendedahkan kepada rakyat Jepun apa sebenarnya yang berlaku, kerana mungkin penceritaan di negara mereka berbeza berbanding realiti.
Menurut Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHGSoc), Shaharom Ahmad lawatan berkenaan dapat mengangkat tapak sejarah itu sebagai tumpuan pelancong, sekali gus memupuk kesedaran kepada pelbagai pihak.
"Kita mengalakkan lebih banyak lawatan dari sekolah, universiti atau agensi ke lokasi sebegini, sekurang-kurangnya tempat bersejarah tidak tenggelam begitu saja.
"Selain itu, kita mengalu-alukan sumbangan atau bantuan untuk bantu persatuan menyelidik serta menjejak lebih banyak tapak warisan, supaya dapat diuar-uarkan kepada generasi muda dan pelancong," katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi MHGSoc, Nor Hisham Zulkiflee memberitahu, kesemua mereka berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah Pertempuran Kampar.
"Para pelajar yang berasal dari Jepun itu bersekolah di Sekolah Antarabangsa di Kampar, kesemua mereka termasuk guru pengiring dan ibu bapa berminat untuk tahu sejarah nenek moyang mereka di sini.
"Kita ceritakan sejarah kedatangan Jepun ke Perak dari awal sehingga Perang Dunia Kedua termasuk Pertempuran Kampar.
"Mereka juga dapat lihat pakaian tentera Jepun waktu itu, kita peragakan juga artifak yang berkaitan. Nampak mereka teruja sebab kali pertama lihat depan mata.
"Selain itu, turut menarik perhatian ialah mata wang Jepun yang diperkenal di Tanah Melayu ketika itu iaitu wang pokok pisang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ditanya mengenai kepentingan lawatan itu kepada rombongan tersebut, Nor Hisham menegaskan secara tidak langsung pihaknya dapat mendedahkan apa yang dilakukan oleh Jepun ketika itu.
"Kita memang selitkan apa yang tentera Jepun lakukan kepada rakyat tempatan, sebab kita faham di negara Jepun perkara ini mungkin disembunyikan daripada silibus pembelajaran.
"Justeru, kita ceritakan juga kekejaman perang, tidak kira mana-mana pihak. Mereka juga dimaklumkan tentang kisah tentera Jepun yang terbunuh ketika Pertempuran Kampar, telinganya dipotong sebagai hadiah perang oleh tentera Gurkha," katanya.
Jelasnya, tapak sekolah tersebut juga merupakan sebahagian daripada lokasi Pertempuran Kampar pada 30 Disember 1941.
Sementara itu, ketua rombongan tersebut, Sachiyo Itagaki melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih di atas penerangan daripada persatuan tersebut.
"Kami bukan sahaja dapat melihat lokasi bersejarah perang tetapi juga mengetahui sejarah tentera Jepun dan apa yang mereka lakukan ketika Perang Dunia Kedua di Perak.
"Terima kasih di atas penerangan dan latar belakang yang diperincikan tentang Kampar, para pelajar dari Jepun yang bersekolah di sini dapat mempelajari tentang Pertempuran Kampar, kajian ini penting bagi kami memahami apa yang berlaku," katanya.
#pelancongan #sejarah #tinggalan perang #Kampar
;