Pelajar jatuh jambatan cari talian internet, MCMC sediakan penyelesaian
Astro Awani
November 30, 2020 13:37 MYT
November 30, 2020 13:37 MYT
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil maklum tentang kejadian tiga orang pelajar yang dilaporkan telah terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian Internet bagi mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi, Sabah baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, MCMC memberitahu mereka sedang mengusahakan penyelesaian sementara dengan sokongan Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTT), bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada Kampung Gusi melalui teknologi VSAT.
"Inisiatif ini merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat daripada pihak CTT dan pemasangan VSAT akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 15 Disember 2020.
"Selain itu, tiga menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
"Lokasi-lokasi tersebut telah dinyatakan di dalam dokumen tender yang dikeluarkan oleh MCMC pada 20 November 2020," kenyataan itu menyebut.
MCMC bersimpati dengan nasib tiga pelajar berkenaan dan menasihatkan agar pelajar tidak membahayakan diri dalam usaha mencari capaian internet.