Pelajar jadi titian eratkan persahabatan Malaysia-China

Nik Nuur Azam Shah
November 4, 2024 08:00 MYT
Pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Beijing Jiaotong University, Aida Nadhirah, Kang dan Lim, ketika ditemui baru-baru ini. - Poto Astro AWANI/Nik Nuur Azam Shah
BEIJING: Pelajar Malaysia yang belajar di luar negara, khususnya China memainkan peranan penting dalam mempererat hubungan dua hala kedua-dua negara.

Ringkasan AI
  • Pelajar Malaysia di China memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik melalui pertukaran budaya dan pendidikan, serta menyumbang kepada persefahaman dua negara.
  • Pengalaman pelajar seperti menyesuaikan diri dengan bahasa dan budaya, serta pengenalan budaya Malaysia, membantu merapatkan hubungan antara pelajar Malaysia dan pelajar tempatan di China.
  • Pengalaman pelajar diperkukuh dengan sokongan universiti dan masyarakat tempatan, dengan sekitar 4,000 pelajar Malaysia di China dan hampir 40,000 pelajar China di Malaysia, yang bersama-sama mengembangkan hubungan antara kedua-dua negara.

Pertukaran pendidikan ini menggalakkan pemahaman budaya dan mengukuhkan hubungan menerusi perkongsian pengalaman.
Selain menyelami budaya dan bahasa penduduk China, golongan belia adalah kunci masa depan yang membawa kepada persefahaman dan rasa hormat yang lebih mendalam.
Lebih-lebih lagi, apabila mereka kembali ke Malaysia, mereka membawa pengetahuan dan pandangan yang boleh membantu merapatkan jurang antara kedua-dua negara.
Ramai daripada mereka menjadi tokoh penting dalam industri seperti perdagangan, diplomasi, dan pendidikan, mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Tiga pelajar dari Beijing Jiaotong University (BJTU), Aida Nadhirah Abdullah Harun, Kang Hui Lynn dan Lim Zheng Sheng, baru-baru ini berkongsi pengalaman masing-masing semasa menuntut di universiti itu
.
“Pada mulanya, saya risau tentang perbezaan budaya dan bahasa. Saya belajar bahasa Cina sebelum datang, tapi masih ada halangan bahasa ketika sampai sini. Walaupun begitu, jangan takut dengan halangan bahasa.
"Lama-kelamaan kita akan belajar dan menyesuaikan diri. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru, kerana pengalaman ini sangat berharga,” kata Aida yang merupakan seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Automasi di BJTU.
Sementara itu, Kang berkata, kelas di China sangat berstruktur dan profesional, selain mereka belajar dalam kumpulan kecil, sekali gus membuatlan setiap pelajar mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pensyarah.
"Semua kelas kami diajar dalam bahasa Inggeris, jadi tidak ada halangan bahasa yang besar. Bagi sesiapa yang bercadang belajar di sini, saya nasihatkan jangan risau tentang adaptasi.
"Kita akan dijaga dengan baik dan banyak sokongan yang diberikan,” katanya yang merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Awam di BJTU.
Bagi Lim pula, perkara menarik yang dikongsikannya adalah tentang aktiviti yang memberi peluang berinteraksi dengan pelajar tempatan.
"Salah satu pengalaman menarik adalah ketika memperkenalkan durian Musang King kepada mereka. Ramai yang tidak pernah mencuba durian dengan aroma yang kuat, jadi saya kongsikan tentang keunikan durian Malaysia.
"Rakan-rakan tempatan sangat kagum dan berminat mengenali budaya Malaysia dengan lebih mendalam,” ujarnya yang merupakan seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Elektronik dan Kawalan di BJTU.
Mereka bukan sahaja melakar kejayaan dalam bidang akademik masing-masing, malah mendapat sokongan mesra dari pihak universiti serta masyarakat tempatan dalam usaha menyesuaikan diri dengan bahasa, makanan mahupun budaya di China.
Ketiga-tiga pelajar Malaysia ini ditemui delegasi media Malaysia dalam lawatan ke China anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
Setakat ini, sekitar 4,000 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di negara Tembok Besar itu dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan teknikal dan vokasional, sementara hampir 40,000 pelajar China menuntut di Malaysia.
Pengalaman serupa juga dilalui kira-kira 20 pelajar China yang belajar dalam jurusan Bahasa Melayu di Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University.
Bukan sahaja memiliki minat mendalam dalam mempelajari bahasa, pelajar ini turut memiliki nama Melayu sebagai salah satu cara mendalami bahasa Melayu.
#BJTU #Hubungan dua hala #Malaysia-China #pendidikan
;