Pelajar IPTS maut jatuh dari tingkat 21 hotel
Astro Awani
Mei 23, 2024 14:10 MYT
Mei 23, 2024 14:10 MYT
GEORGE TOWN: Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) maut selepas jatuh dari tingkat 21 sebuah hotel di Tanjung Bungah, dekat sini, pada Rabu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahamd berkata polis yang menerima laporan sekitar jam 3.35 petang mendapati pelajar perempuan berusia 24 tahun itu telah pun meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh badan, lapor Sinar Harian.
"Mangsa dikatakan baru mendaftar masuk ke hotel berkenaan bersama teman lelakinya yang berusia 24 tahun pada semalam.
"Dia bagaimanapun ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah di tingkat bawah hotel berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, pada Khamis.
Hamzah menambah, siasatan awal mendapati teman lelaki mangsa hanya menyedari kejadian tersebut selepas ternampak orang awam mengerumuni mangsa di tingkat bawah hotel berkenaan.
"Kita sedang menyiasat teman lelaki mangsa yang juga pelajar di universiti yang sama untuk membantu siasatan.
"Setakat ini, kita klasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
#institusi pengajian tinggi swasta
#pelajar IPTS maut
#jatuh dari tingkat 21
#hotel di Tanjung Bungah