Pelajar IPTA maut dikelar teman lelaki
Astro Awani
Februari 2, 2015 00:08 MYT
Februari 2, 2015 00:08 MYT
Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) maut dipercayai dikelar teman lelakinya di kilometer 228.2, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Gantang, Taiping tengah hari tadi.
Menurut pemangku ketua polis Superintendan Ismail Che Isa, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari tadi, pasangan itu pada awalnya dikatakan bertengkar di dalam sebuah kereta.
Mangsa berusia 19 tahun itu kemudian dilihat membuka pintu keretanya yang diletakkan di lorong kecemasan sebelum terjatuh ke atas jalan.
Seorang lelaki lantas keluar dari kereta dan menariknya ke besi penghadang jalan sebelum cuba melarikan diri ke hutan berdekatan.
Orang ramai yang melihat kejadian segera menangkap suspek berusia 25 tahun itu.
Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 2 petang.
Polis menemui sebilah pisau dengan kesan darah di dalam semak berhampiran tempat kejadian.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.