Pelajar IPTA hilang, dikhuatiri lemas di Pantai Cherating

Azee Shafy
Januari 7, 2023 17:32 MYT
Pasukan Bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar tempat kejadian sejurus tiba. - Foto JBPM
KUANTAN: Seorang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu dikhuatiri lemas di Pantai Cherating dekat Kampung Cherating Lama, di sini, pada Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa sebelum itu mandi di pantai bersama empat rakannya yang lain.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.54 tengah hari tadi, dan seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.
"Makluman awal dari pemanggil memaklumkan terdapat lima orang mangsa yang merupakan pelajar IPTA di Dungun yang sedang mandi dan salah seorang daripadanya dikhuatiri dihanyutkan ombak.
"Setiba di lokasi kejadian, didapati benar seorang lelaki telah hilang dihanyut ombak. Pasukan Bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya lagi, seramai lima anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
#pelajar IPTA lemas #pantai cherating #Bomba Gebeng #Kampung Cherating Lama
;