Pelajar IPTA cedera terjatuh tiga tingkat bangunan kediaman

Bernama
November 6, 2018 23:57 MYT
Mangsa dikatakan terjatuh tiga tingkat itu selepas tergelincir ketika hendak mengambil tuala mandi yang dijemur di koridor.
Seorang pelajar perubatan wanita dipercayai patah kedua kakinya selepas terjatuh dari tingkat 10 ke atas bumbung tingkat tujuh bangunan kediaman sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, pelajar perubatan berumur 21 tahun tersebut dikatakan terjatuh tiga tingkat itu selepas tergelincir ketika hendak mengambil tuala mandi yang dijemur di koridor kediaman berkenaan.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata rakan kolej pelajar terbabit, yang melihat mangsa terjatuh bergegas meminta pertolongan daripada polis bantuan di kediaman berkenaan.
"Mangsa yang dikenali sebagai Lee Miao Lynn dan berasal dari Pulau Pinang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Likas dan berada dalam keadaan sedar serta stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kecederaan lain dialami mangsa belum dapat dikesan kerana pihak hospital belum menjalankan pengimbasan terhadap mangsa.
-- BERNAMA
#institusi pengajian tinggi awam #ipta #Lee Miao Lynn #pelajar perubatan #terjatuh
;