Pelajar IPT hilang selepas tergelincir di air terjun Lata Goleng, Jeli
Vivi Sumanti
November 28, 2022 00:05 MYT
November 28, 2022 00:05 MYT
JELI: Seorang penuntut Politeknik Jeli hilang selepas tergelincir di air terjun Lata Goleng, Sungai Rual, di sini petang Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim, mangsa berusia 20 itu dikenali sebagai Wan Mohammad Syahid Wan Abdul Aziz.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.43 petang tadi.
"Mangsa bersama rakannya dikatakan memasuki hutan Sungai Rual untuk memancing di air terjun berkenaan.
"Rakannya memaklumkan, mangsa tergelincir ketika berjalan di atas batu dan dibawa arus jeram berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan malam ini.
Menurut Mohd Adni, sejurus menerima makluman awal dari Pusat Gerakkan Operasi PGO, sejumlah 13 anggota ditugaskan menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.
"Namun disebabkan arus jeram yang deras selepas hujan di kawasan atas bukit, menyebabkan kerja-kerja penyelamatan sukar.
"Mangsa dipercayai dibawa arus deras jeram dan kepala air," katanya lagi.
Operasi mencari dan menyelamat dihentikan jam 7 petang dan akan disambung esok (Selasa).