Pelajar IPT ditahan miliki bahan pornografi kanak-kanak
Astro Awani
September 21, 2022 07:30 MYT
September 21, 2022 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang lelaki warga asing berusia 24 tahun yang memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan memaklumkan, penahanan suspek dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Menurut Noorsiah, suspek merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi.
Hasil siasatan mendapati, suspek telah menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan bagi mendapat bahan seksual kesemua mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.
Katanya, kejayaan penahanan suspek dibuat hasil kerjasama PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk pertuduhan mengikut Seksyen 5, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual.