Pelajar 'hilang' takut pulang, bimbang dimarahi ayah - polis
Hilal Azmi
April 15, 2015 20:58 MYT
April 15, 2015 20:58 MYT
Selepas lima hari dilaporkan hilang, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, Low Yu Mun, akhirnya pulang ke pangkuan keluarga.
Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ali Ahmad berkata, pelajar tingkatan satu itu tiba di rumahnya sekitar 4 petang pada Selasa.
"Hari ni ayah pelajar itu datang sekali lagi untuk membuat laporan polis mengatakan anaknya sudah pulang ke rumah lebih kurang jam 4 petang," kata Ali.
Pelajar itu dilapor telah pergi ke rumah kawannya di Kepong Ulu namun tidak berani pulang ke rumah takut dimarahi ayahnya.
"Kita tak tahu apa puncanya dan ayah pelajar ini mengakui ada memarahi anaknya," katanya lagi.
Beliau, dalam pada itu, menolak kemungkinan wujud unsur jenayah.
Motif kes masih disiasat dan keadaan Yu Mun dilaporkan sihat.