Pelajar hanya mampu lihat dokumen peribadi terbakar

Bernama
April 7, 2022 06:50 MYT
Anggota bomba memadamkan kebakaran di Jalan PK 14, Kawasan Perindustrian Krubong. -JBPM Melaka
MELAKA: Seorang pelajar berusia 20-an hanya mampu melihat barangan peribadi serta dokumen pengenalan diri miliknya hangus apabila gudang tempatnya menjalani latihan industri di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini terbakar pagi tadi.
Hanya mahu dikenali sebagai Siti Aishah, dia ketika itu baru tiba di pejabat sebelum terdengar bunyi letupan dan melihat api berdekatan wayar pada alat penyaman udara.
"Kejadian berlaku sangat pantas dan saya terus keluar memberitahu dua rakan lelaki yang ada di luar gudang.
"Mereka cuba memadamkan api tapi ia marak dengan cepat dan saya hubungi bomba untuk bantuan," katanya yang ditemui pemberita di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Kanan (PgKB) II Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata kebakaran di Jalan PK 14, Kawasan Perindustrian Krubong itu menyebabkan gudang bersaiz 39 meter panjang dan 30 meter lebar itu hangus hampir 80 peratus.
Katanya panggilan kecemasan diterima pada kira-kira 9.26 pagi dan sepasukan anggota dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, serta dibantu BBP Ayer Keroh, BBP Melaka Tengah dan BBP Tangga Batu dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya kebakaran dipercayai bermula dari bahagian tengah gudang dan ketika jentera tiba di lokasi, api sudah marak melebihi 50 peratus.
"Tiada pekerja gudang dilaporkan terperangkap atau cedera, dan kebakaran dapat dikawal dengan melibatkan 23 anggota. Pasukan forensik bomba sudah dimaklumkan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran," katanya
-- BERNAMA
#SITI AISHAH #dokumen pengenalan diri hangus #Kawasan Perindustrian Krubong #Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar
;