Pelajar ditemukan meninggal dunia di asrama kolej
Sinar Harian
November 4, 2024 14:30 MYT
November 4, 2024 14:30 MYT
KEMAMAN: Seorang pelajar ditemukan meninggal dunia di asrama sebuah kolej swasta di Chukai pada Isnin. Gambar hiasan
Ringkasan AI
- Seorang pelajar berusia 20 tahun dari Selangor ditemukan meninggal dunia dalam asrama di sebuah kolej swasta di Chukai pada Isnin.
- Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri oleh rakan sebiliknya pada jam 5 pagi dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
- Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana mangsa tidak mempunyai rekod penyakit.
Seorang pelajar ditemukan meninggal dunia dalam asrama di sebuah kolej swasta di Chukai, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 20 tahun yang berasal dari Selangor itu pada jam 5.41 pagi.
"Mangsa tinggal sebilik bersama tiga lagi rakan ditemukan tidak sedarkan diri oleh rakan sebiliknya pada jam 5 pagi.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk urusan bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Hanyan berkata, berdasarkan rekod kesihatan mendapati mangsa tidak mengalami sebarang penyakit.
Beliau berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). -Sinar Harian