Pelajar diminta terus kekal di universiti masing-masing - Ismail Sabri

Astro Awani
April 13, 2020 14:36 MYT
Ismail Sabri menjelaskan, kebajikan dan makan serta minum mereka akan tetap dijaga serta ditanggung kerajaan sepenuhnya. Gambar/ Bernama.
Kerajaan memutuskan semua pelajar intitusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang masih berada di kampus tidak dibenarkan pulang ke rumah atau kampung masing-masing.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun menjelaskan, kebajikan serta makan dan minum mereka akan tetap dijaga serta ditanggung kerajaan sepenuhnya.
"Semalam saya sudah sebutkan iaitu kita mendengar pandangan Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya, maka kita memutuskan bahawa pelajar di universiti atau IPTS diminta terus kekal di kampus masing-masing.
"Kebajikan mereka, makan dan minum mereka akan terus dijaga oleh kerajaan," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Jelasnya, kerajaan terpaksa membuat keputusan itu berikutan kebimbangan wujud kluster baharu COVID-19 apabila berlaku pergerakan besar-besaran melibatkan pelajar terbabit.
"Jadi, saya harap tidak timbul lagi perkara-perkara yang saya bangkitkan tadi. Semua keputusan ini adalah bagi memastikan usaha kita memutuskan rantaian dan membendung COVID-19 ini berjaya.
"Kita tidak mahu berlaku pergerakan besar-besaran yang akan menyukarkan pihak polis yang menjaga (keselamatan). Pergerakan besar ini mungkin jika dibenarkan, akan menjadi kluster baharu COVID-19," tambah beliau.
Beliau pada masa sama, berharap semua pelajar akur dengan keputusan berkenaan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
"Saya harap rakyat dan pelajar semua faham dengan tindakan ini kerana ia untuk menjaga kepentingan mereka, keluarga dan masyarakat sekeliling," ujarnya.
BACA: COVID-19: KPT akan kaji mekanisme bawa pelajar IPT pulang - Noraini Ahmad
#COVID19 #Kementerian Kesihatan #kerajaan #keselamatan #kesihatan #KKM #Media #PDRM #pelajar #polis #rakyat
;