Pelajar diingatkan tidak salah guna, jual tablet PerantiSiswa - Annuar
Bernama
September 3, 2022 19:49 MYT
September 3, 2022 19:49 MYT
SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengingatkan pelajar yang menerima tablet PerantiSiswa Keluarga Malaysia agar tidak menyalahgunakan atau menjualnya.
Beliau berkata pelajar yang menerima peranti percuma itu perlu bertanggungjawab menjaganya dengan baik.
"Besar harapan saya walaupun peranti ini diberikan secara one-off (sekali beri), semua yang menerima harus menjaga peranti itu dengan baik.
"Tidak menyalahgunakan, tidak menjual dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan inisiatif itu, mengumumkan mahasiswa yang menerima PerantiSiswa tidak perlu memulangkan peranti itu apabila tamat pengajian nanti.
Kerajaan sebelum ini telah menetapkan inisiatif PerantiSiswa itu diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) dan mahasiswa perlu memulangkannya selepas tamat pengajian.
Annuar juga menjelaskan semua peranti tersebut mempunyai waranti selama dua tahun iaitu pelajar boleh membaiki atau mendapatkan peranti baharu jika terdapat sebarang kerosakan dalam tempoh masa tersebut.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mempunyai data yang lengkap penerima peranti agar mereka yang telah menerima peranti itu tidak memohon buat kali kedua pada masa hadapan.
"Contohnya mereka memperoleh peranti sewaktu berada di Tingkatan Enam kemudian berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang termasuk dalam program ini, maka mereka sudah tentu tidak perlu memohon lagi," katanya.
Beliau juga memberitahu pengagihan pemberian PerantiSiswa bagi fasa 1 akan diselaraskan bersama IPT di seluruh negara secara serentak termasuk Sabah dan Sarawak agar semua pemohon yang lulus mendapat manfaat secepat mungkin.
Berkenaan pemohon yang gagal secara dalam talian, Annuar berkata K-KOMM akan merujuk kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mendapatkan perakuan pengesahan tahap pendapatan keluarga pemohon tersebut sebelum meluluskannya.
Sementara itu, beliau juga menjelaskan pengagihan PerantiSiswa dilaksanakan secara berperingkat walaupun mendapat peruntukan secara sekali gus adalah bagi memberi peluang kepada pelajar baharu yang menerima tawaran ke universiti pada suku kedua tahun ini.
Selain itu, katanya ia juga bagi memberikan ruang kepada pembekal peranti berkenaan agar dapat memenuhi 400,000 jumlah peranti yang diminta oleh kerajaan bagi tahun ini.
Beliau memaklumkan kerajaan juga berjaya membuat beberapa penjimatan atas pembukaan tender terbuka sehingga dapat memperluaskan inisiatif itu kepada pelajar golongan lain seperti Tingkatan Enam dan Matrikulasi.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika berucap pada majlis itu, berharap inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia dapat disebar dengan lebih luas yang memanfaatkan 1.6 juta pelajar di lebih 600 IPT seluruh negara.
Katanya, bagi rancangan jangka masa panjang, KPT akan mengangkat aspek keperluan peranti dan akses kepada internet dijadikan sebagai satu daripada fokus dalam Pelan Pendigitalan Pendidikan Tinggi Negara.
-- BERNAMA