Pelajar dibelasah guru dipercayai ceroboh asrama - JPN

Adie Sufian Zulkefli
Februari 11, 2020 12:25 MYT
Dalam video yang tular, guru terbabit dilihat menampar muka, menendang kaki dan mencekik leher pelajar terbabit di hadapan pelajar-pelajar lain. - Foto ihsan pembaca/media sosial
Susulan kes seorang guru dipercayai menampar, menendang serta mencekik pelajar di sebuah sekolah di sini, kejadian didakwa berpunca daripada kesalahan yang dilakukan pelajar berusia 16 tahun terbabit.
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pelajar itu bersama beberapa rakan lain telah menceroboh bilik asrama pelajar lain akibat tidak puas hati berhubung satu pembentangan kerja di dalam kelas.
"Pelajar terbabit bersama rakan lain tidak berpuas hati terhadap seorang pelajar ketika sesi pembentangan kerja di dalam kelas pada sebelah petang pada 31 Januari lalu.
"Setibanya di dalam bilik asrama, pelajar terbabit terus mengugut ingin memukul pelajar yang membuat pembentangan kerja terbabit dan berlaku pertengkaran.
"Rakan sebilik yang menyaksikan perbuatan itu telah bertindak membuat laporan kepada guru yang juga warden asrama," kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, guru berkenaan telah memanggil pelajar itu bersama rakannya yang lain untuk sesi soal jawab, dan pada ketika itu, berlaku kejadian seperti di dalam klip video yang kemudiannya tular.
Menurut JPN Kedah, kejadian tersebut telah dirakam pelajar lain yang juga rakan pelajar yang dibelasah guru itu.
Pelajar yang dibelasah itu kemudiannya meminta video rakaman itu pada 8 Febuari lalu dan menyebarkannya.
Waris pelajar terbabit yang mengetahui perlakuan yang membabitkan anak mereka itu telah membuat laporan polis.
Kejadian itu ketika ini masih dalam siasatan polis dan menurut JPN, guru terbabit telah digantung tugas sementara siasatan polis selesai.
BACA: Polis siasat video tular guru belasah, cekik pelajar di Alor Setar
#asrama #belasah #warden
;