Pelajar dapat akses maklumat, kajian sedia ada kerajaan sebelum 24 Mei ini

Bernama
Mei 16, 2024 17:41 MYT
Chang berucap ketika merasmikan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Pertandingan Teknologi Antarabangsa (ITEX) ke-35 di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) bakal mendapat akses kepada maklumat serta kajian sedia ada di peringkat kementerian dan agensi kerajaan sebelum 24 Mei ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang memberikan jaminan itu berkata kementerian sedang giat menyusun semua maklumat serta kajian yang ada sebelum akses dibuka kepada semua universiti di seluruh negara.
Beliau berkata ia bukan sahaja melibatkan maklumat dan kajian, malah turut meliputi perkara berkaitan Komputeran Prestasi Tinggi (HPC) yang ada di negara ini.
"Kita tinggal menyusun sahaja, data-data asas sebelum ini memang sudah ada yang dikongsikan dalam kalangan para pengkaji dan boleh diakses di MOSP (Platform Sains Terbuka Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Pertandingan Teknologi Antarabangsa (ITEX) ke-35 di sini hari ini.
Pada 10 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mahasiswa di IPT bakal mendapat akses kepada maklumat serta kajian sedia ada di peringkat kementerian dan agensi kerajaan sebagai usaha memperkasa teknologi kecerdasan buatan (AI) di negara ini.
Anwar berkata akses itu akan diberikan menerusi perkomputeran awan yang akan diselaraskan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Sementara itu Chang dalam ucapannya berkata lebih 3,900 syarikat pemula telah berdaftar dalam portal MYStartup di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030.
Beliau berkata kementerian menyasarkan 5,000 syarikat pemula menjelang 2025 di bawah pelan hala tuju itu serta berhasrat disenaraikan dalam kalangan 20 negara teratas dalam ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030 serta meletakkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau.
Mengenai ITEX, Chang berkata ia telah menjadi platform kreativiti, menyalurkan idea, pemangkin perubahan, memupuk kerjasama, perkongsian pengetahuan dan mencari penyelesaian inovatif kepada cabaran dihadapi dunia masa kini.
-- BERNAMA
#mahasiswa IPT #akses kepada maklumat #Chang Lih Kang #agensi kerajaan
;